Sabtu, 3 Mei 2008

Monopoli Bernas punca kenaikan harga beras - Amiruddin

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Hrkh) - Harga beras terus naik disebabkan sebahagian besar kuasanya dimonopoli oleh Beraspadi Nasional Berhad (Bernas) kata, Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Petani, Peneroka, Nelayan dan Penternak, PAS Pusat, Amiruddin Hamzah. -->-->
Beliau yang juga Jawatankuasa Pertanian, Perdagangan dan Industri, Sains dan Inovasi Negeri Kedah berkata, Bernas yang menentukan harganya biarpun Kedah sebagai pengeluar padi terbesar negara.
"Kebanyakannya penentuan harga di tangan mereka. Maknanya penentuan itu selain harga premium beras yang grednya 15 peratus beras hancurdikawal mereka tetapi harga beras gred lain diapongkan," katanya semasa dihubungi Harakahdaily hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan harga di luar sudah tinggi mereka pun sama naikkan harganya.
Oleh kerana itu katanya, walaupun Kedah pengeluar padi terbesar negaratetapi harga beras tetap sama dengan pasaran lain.
Melainkan katanya, jika Kedah mempunyai syarikat pemprosesannya sendiri barulah boleh ditentukan harga beras sendiri.
Bagaimanapun katanya, apa yang berlaku kepada para petani sama ada menjual padi di kilang swasta atau kilang milik Bernas harganya dikuasai Bernas.
Katanya, walaupun Kedah mengeluarkan padi tetapi harga berasnya tetap bergantung kepada Bernas.
Pada tahun 2008 ini kenaikan harga beras begitu mendadak dan ia dikatakan berkaitan dengan kenaikan global harga beras.
Bah hampir kesemua jenis beras naik mendadak sekitar 15 hingga 40 peratus.
Umpamanya di Kedah harga beras gred super seberat lima kilogram sekarang dijual dengan harga RM13.50 berbanding sebelum ini RM8 dan beras gred super seberat 10 kilogram sekarang dijual dengan harga RM27 berbanding RM16 sahaja sebelum ini.
Kenaikan itu seolah-olah tidak dihiraukankan penjual walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memberi jaminan harga beras super tempatan dikawal dan tidak boleh dinaikkan.
Sehubungan itu kata Amiruddin, beliau bimbang mengenai nasib petani-petani yang terpaksa menghadapi harga beras yang melambung naik sedangkan harga jualan padi masih kekal di tahap lama.
Bahkan katanya, kenaikan tersebut dibebani dengan kos kerja pertanian yang tinggi contoh harga racun dan baja naik sehingga 150 peratus.
Mutakhir ini pula katanya, petani terpaksa menghadapi gangguan perosak lain seperti siput dan gondang emas yang menyebab petani memperolehi hasil yang tidak seberapa.
"Penjual padi masih kekal di takuk lama, harga beras melambung sedangkan mereka mengambil masa enam bulan untuk mendapat hasil padi yang tidak seberapa.
"Bagaimanapun apabila menjadi beras, yang mengaut keuntungan, tidak terkira banyaknya orang lain" katanya.
Oleh kerana itu beliau menggesa kerajaan mengawal harga beras dengan segera.
Malah katanya, bagi menyelamat keadaan sistem monopoli beras yang berada di tangan Bernas perlu dipecahkan.
Katanya, sistem monopoli cukup tidak sihat apatah lagi ia dimonopoli oleh pihak swasta.
"Kerana kita tahu apabila monopoli diperolehi pihak swasta sudah tentu asasnya ialah keuntungan semaksimanya," katanya.
Malah dakwa beliau, dalam kenaikan harga beras sekarang kerajaan tidak mengawal dengan bersungguh-sungguh.
Dakwanya, jika kerajaan betul-betul mengawal harganya tidak melambung begitu tinggi.
"Kalau dia kata dia kawal dia perlu tetapkan harga silingnya," katanya.
Dalam masa yang sama katanya, kerajaan perlu memastikan penanam-penanam padi mendapat harga padi yang dijual mereka seimbang dengan harga beras yang dijual di pasaran. - mr
© 2006 HarakahDaily.Net